fb fb fb fb fb

Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, berada pada landasan positif

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 November - Ekonomi Malaysia dilihat kekal berdaya tahan dan berada pada landasan positif untuk mencapai sasaran pertumbuhan bagi tahun 2025, disokong pencapaian kukuh pada suku ketiga tahun ini.

Penganalisis Ekonomi, Profesor Dr Abu Sofian Yaacob berpendapat, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara meningkat 5.2 peratus, dipacu permintaan domestik yang kukuh, termasuk pembelanjaan isi rumah, kestabilan pasaran buruh dan kadar inflasi rendah pada 1.3 peratus.

"Program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut membantu mengekalkan momentum domestik," katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Beliau berkata, selain faktor dalam negara, permintaan global terhadap barangan Malaysia juga menunjukkan pemulihan walaupun risiko luar seperti kelembapan ekonomi China dan ketegangan geopolitik masih wujud.

Beliau berkata, indikator utama termasuk peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) sebanyak 4.9 peratus, kenaikan nilai jualan sektor sebanyak 3.5 peratus dan jumlah dagangan yang berkembang 3.7 peratus turut mengukuhkan prestasi ekonomi.

"Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM85 bilion, pengukuhan ringgit ke paras RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat dan lebihan akaun semasa berjumlah RM12.2 bilion juga mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara," katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan reformasi struktur di bawah agenda Malaysia MADANI dan komitmen kerajaan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada 2025 serta 3.5 peratus pada 2026 turut menjadi faktor yang meningkatkan keyakinan pasaran.

"Dengan pelan digitalisasi, pelaburan bernilai tinggi dan strategi Rancangan Malaysia ke-13 serta Belanjawan MADANI, ekonomi negara berada dalam kedudukan baik untuk menghadapi cabaran global," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM