KUALA LUMPUR, 15 November - Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, meningkat daripada 4.4 peratus pada suku sebelumnya.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan berkata, pertumbuhan tersebut dipacu oleh prestasi mantap merentas semua sektor, dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi negara.
"Permintaan domestik berkembang 5.8 peratus, disokong oleh perbelanjaan isi rumah, pasaran buruh yang stabil serta inflasi yang terkawal.
"Usaha kerajaan meningkatkan pendapatan rakyat melalui bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut merangsang perbelanjaan pengguna," menurut kenyataan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi itu meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk mencapai sasaran pertumbuhan 4.0 hingga 4.8 peratus tahun ini.
Dari segi penawaran, pertumbuhan dipacu oleh sektor perkhidmatan, pembuatan, serta pemulihan ketara dalam perlombongan.
Petunjuk ekonomi lain turut menunjukkan pengukuhan, termasuk kadar pengangguran yang kekal pada 3 peratus, inflasi stabil pada 1.3 peratus, serta lebihan dagangan meningkat kepada RM50.3 bilion.
Aliran masuk FDI juga melonjak kepada RM8.5 bilion, manakala ringgit kekal stabil dan berada dalam kelompok mata wang berprestasi baik di Asia.
Kerajaan MADANI komited melaksanakan pembaharuan struktur dan fiskal, termasuk pengurangan defisit kepada 3.8 peratus pada 2025, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan manfaatnya terus dinikmati rakyat.