fb fb fb fb fb

SC terbit Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2025

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 November – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerbitkan Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2025, yang menunjukkan kemajuan berterusan dalam penerimaan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) oleh syarikat awam tersenarai (PLC).

SC memaklumkan, tahap pematuhan kekal kukuh dengan 33 daripada 48 amalan terbaik mencatat penerimaan sekurang-kurangnya 90 peratus.

Peningkatan ketara turut dilihat pada tadbir urus lembaga, apabila 73 peratus PLC kini tidak lagi mempunyai pengerusi yang menganggotai jawatankuasa lembaga, satu langkah penting bagi mengukuhkan semakan dan imbangan.

Amalan berkaitan kemampanan juga semakin diperkukuh selaras jangkaan pelaporan negara.

Bagaimanapun, laporan itu menunjukkan kemajuan lebih perlahan bagi amalan yang memerlukan perubahan budaya organisasi, termasuk kepelbagaian lembaga dengan hanya 45 peratus PLC mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pengarah wanita.

Pendedahan imbuhan eksekutif juga kekal rendah apabila hanya 5 peratus PLC mendedahkan maklumat terperinci pengurusan kanan.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi menegaskan bahawa penciptaan nilai kekal sebagai teras tadbir urus yang baik terutama ketika lembaga kini perlu menyesuaikan pengawasan kepada keutamaan baharu seperti transformasi digital, tadbir urus kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

Pandangan daripada laporan tersebut akan memaklumkan semakan seterusnya terhadap MCCG pada tahun hadapan, termasuk usaha memperkukuh kepimpinan lembaga, tadbir urus teknologi dan penglibatan pihak berkepentingan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ