KUALA LUMPUR, 15 November - Industri besi dan keluli Malaysia disarankan memperkukuh persediaan menghadapi cukai karbon sambil mempercepatkan penggunaan teknologi rendah karbon, sekali gus mengekalkan daya saing negara dalam lanskap ASEAN dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Timbalan Presiden Persatuan Besi & Keluli Malaysia (MSA), Datuk Seri Tai Hean Leng menekankan bahawa cukai karbon bukan sekadar langkah fiskal, tetapi mekanisme strategik untuk memacu perubahan teknologi dan amalan lestari dalam industri.
"Cukai karbon perlu ditetapkan pada kadar yang signifikan supaya ia dapat mendorong perubahan tingkah laku teknologi dalam kalangan syarikat yang menghasilkan jumlah gas rumah hijau yang tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi 'Forging Malaysia’s Low-Carbon Competitiveness in the ASEAN Steel Landscape: Navigating Carbon Tax, Green Steel, and the Path to Net Zero' yang berlangsung di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), di ibu negara.
Syarikat pengeluar berintensiti tinggi boleh memilih untuk dikenakan cukai atau beralih kepada teknologi rendah karbon, manakala syarikat pengeluar dengan emisi rendah tidak dikenakan cukai, membolehkan harga tenaga dan keluli kekal berpatutan dan berdaya saing.
Selain itu, Datuk Seri Tai berkata, hasil daripada pencukaian tersebut patut disalurkan kepada pelaburan hijau serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Cukai karbon bertujuan memudahkan dan membolehkan penggunaan teknologi rendah karbon. Apabila teknologi baharu diperkenalkan, kosnya tinggi pada permulaannya. Jadi, jika cukai karbon ditetapkan pada kadar yang mencukupi, ia boleh digunakan untuk menyubsidi dan memperkenalkan teknologi baharu," jelasnya.
Langkah itu selari dengan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, termasuk mengurangkan pelepasan karbon, memacu penggunaan tenaga boleh baharu, serta memanfaatkan teknologi hijau sebagai strategi pertumbuhan ekonomi jangka panjang.