fb fb fb fb fb

Ekonomi Malaysia terus menunjukkan momentum positif

GAMBAR FAIL / RTM

KUALA LUMPUR, 15 November - Ekonomi Malaysia terus menunjukkan momentum positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2025 melonjak 5.2 peratus, disokong prestasi kukuh pelaburan, eksport dan sektor perkilangan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan dasar strategik MITI dalam merancakkan perdagangan, menarik pelaburan berkualiti serta memacu transformasi industri negara.

"Keyakinan pelabur kekal tinggi apabila pelaburan swasta berkembang 7.3 peratus, mencerminkan kejayaan pelaksanaan projek diluluskan serta usaha berterusan MITI menarik pelaburan berimpak tinggi.

"Pertumbuhan ini juga disokong prestasi perdagangan yang kukuh, dengan eksport mencatat peningkatan 17.7 peratus, khususnya didorong oleh sektor elektrik dan elektronik bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram.

Beliau berkata kekuatan sektor perkilangan turut memberi sumbangan besar, dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) bagi September meningkat 5.7 peratus, menandakan aktiviti industri yang sihat dan berterusan.

MITI akan terus memperkukuh agenda perindustrian negara menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, berkualiti dan mampu menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM