fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup rendah

Getah sekerap yang belum dikutip penoreh getah di ladang getah Kampung Tangkoh Sekota, Johol/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah hari ini selepas diseret turun oleh petunjuk yang agak lemah dalam pasaran niaga hadapan getah serantau.

Seorang peniaga berkata pasaran juga bertindak balas terhadap pengukuhan ringgit berbanding dolar US menjelang beberapa siri mesyuarat bank pusat utama yang dijangkakan pada minggu hadapan.

“Bagaimanapun, kerugian selanjutnya telah dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah serta tanda-tanda ekonomi yang stabil di China.

“Sentimen pasaran juga disokong oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih mantap,'' katanya kepada Bernama, sambil menambah bahawa niaga hadapan getah Jepun jatuh hari ini berikutan penyusutan yen menghampiri ambang 150 kepada dolar US.

Peniaga itu berkata harga minyak meningkat pada Jumaat berikutan serangan tentera AS ke atas sasaran Iran di Syria, melonjakkan kebimbangan konflik di Timur Tengah yang semakin meluas yang akan menjejaskan bekalan minyak.

Berdasarkan anggaran awal AS semalam, ekonomi kuasa besar itu berkembang pada kadar terpantas dalam hampir dua tahun suku lepas dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bertambah kepada kadar tahunan 4.9 peratus berikutan ledakan perbelanjaan pengguna.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 turun sebanyak 2.0 sen kepada 693.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 558.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 689.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 556.0 sen sekilogram. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN