fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM susut ke paras terendah lebih 3 bulan

KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives susut ke paras terendah lebih tiga bulan di tengah-tengah petunjuk terkini data eksport negatif bagi tempoh 1 hingga 5 Okt.

Ketua Penyelidikan Komoditi Kumpulan Sunvin yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata Intertek Testing Services telah menganggarkan eksport minyak sawit Malaysia dalam tempoh tersebut pada 159,820 tan, jatuh sebanyak 15.57 peratus berbanding 189,285 tan yang diunjurkan bagi 1 - 5 Sep.

Beliau berkata pelabur menunggu daripada membuat langkah menjelang pengumuman pengeluaran Persatuan Minyak Sawit Malaysia.


(Foto hiasan)

Tinjauan permintaan dan bekalan minyak sawit September daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia baru-baru ini menunjukkan bahawa stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.38 juta - 2.43 juta tan, naik 14 peratus daripada Ogos disebabkan oleh pengeluaran yang lebih tinggi.

“Daripada pasaran luar, harga minyak mentah, minyak biji sesawi dan minyak matahari terus melemah pada Khamis,” katanya.

Di pasaran tempatan, kontrak untuk Oktober 2023 serta November 2023 kehilangan RM4 kepada RM3,562 dan RM3,573 satu tan, Disember 2023 turun RM7 kepada RM3,600 satu tan, manakala Januari 2024 adalah lebih rendah sebanyak RM13 kepada RM3,636 satu tan.

Februari 2024 berkurangan sebanyak RM17 kepada RM3,672 dan Mac 2024 mencatatkan kemerosotan berjumlah RM22 kepada RM3,692 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 71,610 lot berbanding 82,931 lot semalam, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 293,575 kontrak daripada 230,457 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Oktober Selatan mendatar pada RM3,600 setan.- BERNAMA

Media Baharu