KUALA LUMPUR, 21 November - Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, menjejaki niaga hadapan emas di Bursa Komoditi New York (Comex) Amerika Syarikat yang lebih kukuh dalam tempoh semalaman.
Pada penutup dagangan, kontrak November 2023 menokok kepada US$1,982.50 setiap auns troy daripada US$1,971.60 setiap auns troy semalam, Disember 2023 menambah kepada US$1,992.60 setiap auns troy daripada US$1,981.70 setiap auns troy dan Januari 2024 meningkat kepada US$2,002.30 setiap auns troy daripada US$1,991.40 setiap auns troy.
Kontrak bagi Februari 2024, April 2024 dan Jun 2024 semuanya ditutup pada US$2,011.20 setiap auns troy.
Jumlah dagangan menokok kepada 216 lot daripada 114 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka naik kepada 340 kontrak daripada 232 kontrak sebelum ini.
Harga emas fizikal pada US$1,968.70 setiap auns troy, seperti yang diterbitkan Persatuan Pasaran Jongkong London semasa penetapan pada 20 Nov. - BERNAMA