CYBERJAYA, 9 Mac- Lebih 20,000 pendaftaran direkodkan bagi Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiicas) sejak dilancarkan tiga bulan lalu.
Daripada jumlah itu, 2,000 permohonan telah diluluskan, sekali gus melayakkan pemohon menerima rebat tunai berjumlah RM2,400.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz berkata rebat tunai itu boleh dimanfaatkan untuk tujuan pembelian atau langganan motosikal elektrik.
"Motosikal yang ada model setakat ini, kita telah luluskan lebih kurang 12 model tetapi kalau pemohon nak lihat boleh pergi ke insentif.marii.my untuk melihat lebih lanjut tentang motosikal yang ada dan juga setiap spesifikasi," kata Azrul Reza kepada pemberita, di sini, hari ini.
Mengulas jumlah pendaftaran menggalakkan, jelasnya ia menandakan minat rakyat yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik (EV).
Selain didorong pemberian pelbagai insentif di bawah Belanjawan 2024, ia turut disokong kerjasama agensi awam dan swasta dalam mengukuhkan ekosistem EV negara.
Kita boleh tengok dari segi syarikat-syarikat pengeluar pun, banyak membuat kolaborasi atau kerjasama dengan pelbagai syarikat lain.
"Saya bagi contoh macam ryde EV, dia bekerjasama dengan CelcomDigi untuk membolehkan pembeli melanggan melalui CelcomDigi. Selain rydeEV, kita ada Blueshark bersama dengan Maxis," tambahnya.
MARiicas menyasarkan tawaran rebat bagi 8,300 unit motosikal elektrik.
Tempoh permohonannya akan dibuka sehingga 31 Disember ini.