fb fb fb fb fb

Dividen ASB 2025 kekal 5.75 sen seunit

Jumlah agihan melibatkan pembayaran RM10.4 bilion bakal memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit ASB

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah agihan yang melibatkan pembayaran sebanyak RM10.4 bilion bakal memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit ASB.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB sebanyak RM206.7 bilion, sekali gus mencerminkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan ASB.

ASB mengekalkan kadar pengagihan dividennya sama seperti tahun 2024 dan terus memberikan pulangan mampan yang mengatasi pasaran apabila ia berjaya meningkatkan jurang daya saing berbanding penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank yang mencatatkan kadar purata 2.29%, kepada 346 mata asas.

"Kami telah mencatatkan prestasi yang baik merentasi fokus utama, iaitu meningkatkan aliran masuk bersih pelanggan, menyampaikan pengagihan pendapatan yang mampan kepada pemegang unit, serta memperkukuh modal proprietari PNB.

"Ini telah menghasilkan peningkatan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) sebanyak 4.5% kepada RM364 bilion," katanya.

Sepanjang tahun ini, ASNB telah mengagihkan dividen berjumlah RM15.3 bilion, tertinggi pernah dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan pengagihan sejak penubuhannya mencecah RM279 bilion.

Pencapaian ini mencerminkan trajektori prestasi yang positif dan konsisten merentasi semua 18 dana unit amanahnya.

MASNIZA AWANG KECHIK