fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia rendah semasa akhiri sesi dagangan pagi

KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi rendah pada Selasa, menjejaki perkembangan pasaran saham global terutama selepas ekuiti Amerika Syarikat (AS) mengalami kemerosotan terbesar dalam tempoh dua bulan pada Isnin.

Semasa rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.03 mata kepada 1,478.34 daripada 1,487.37 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.45 mata lebih rendah kepada 1,484.92 sekali gus menjadi paras tertinggi harian setakat ini dan mencecah paras terendah 1,477.54 ketika pertengahan pagi.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 478 berbanding 273, manakala 362 kaunter tidak berubah, 1,205 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.05 bilion unit bernilai RM638.54 juta.

Menurut Public Investment Bank Bhd, indeks penanda aras Wall Street, S&P 500 susut 2.1 peratus dan menjadi kemerosotan paling teruk dalam sehari sejak pertengahan Jun.

“Kebimbangan mengenai kemungkinan pengurangan bekalan tenaga Rusia menyebabkan harga gas dan tenaga Eropah melonjak pada Isnin, menambah kebimbangan bahawa benua itu boleh terjerumus ke dalam kemelesetan,” jelasnya dalam nota penyelidikan.

(Foto fail)

Semua hal ini telah melemahkan minat risiko terhadap aset berisiko.

Sementara itu, penurunan dalam indeks komposit didahului Petronas Chemicals, yang turun 13 sen kepada RM8.57, diikuti oleh Sime Darby Plantation setelah susut 12 sen kepada RM4.38 manakala Kuala Lumpur Kepong merosot 72 sen kepada RM21.88.

Bagi saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank susut empat sen kepada RM8.83, Public Bank tidak berubah pada RM4.59 namun IHH Healthcare naik satu sen kepada RM6.36.

Antara saham aktif, Sapura Energy menokok setengah sen kepada 4.5 sen, Dagang NeXchange naik satu sen kepada 85.5 sen, Cnergenz menambah 3.5 sen kepada 92 sen dan Borneo Oil tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 57.15 mata kepada 10,499.19; Indeks FBMT 100 susut 57.99 mata kepada 10,245.41; Indeks FBM Emas Syariah turun 64.32 mata kepada 10,603.35; FBM ACE kurang 5.57 mata kepada 4,849.43 manakala FBM 70 menguncup 52.64 mata kepada 12,581.19.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 96.27 mata kepada 16,518.86; Indeks Perladangan susut 129.50 mata kepada 7,042.13 namun Indeks Tenaga naik 20.65 mata kepada 686.05 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.50 mata kepada 180.17.- BERNAMA

Media Baharu