fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup rendah seiring sentimen lemah global

Bursa Malaysia ditutup rendah bagi hari kedua berturut-turut hari ini seiring dengan sentimen lemah global berikutan konflik di Asia Barat / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 16 April - Bursa Malaysia ditutup rendah bagi hari kedua berturut-turut hari ini seiring dengan sentimen lemah global berikutan konflik di Asia Barat, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.53 mata atau 0.49 peratus kepada 1,535.0 daripada paras penutup 1,542.53 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka rendah turun 1.45 mata kepada 1,541.08, bergerak antara paras 1,532.49 dan 1,541.59 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,159 berbanding 133, 275 kaunter tidak berubah, 785 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.33 bilion unit bernilai RM3.05 bilion daripada 4.28 bilion unit bernilai RM3.25 bilion pada Isnin.

Mohd Sedek Jantan, ketua penyelidik dan penasihat harta dan pengurus portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors berkata selain peningkatan ketegangan geopolitik, sentimen lemah itu diburukkan lagi oleh prestasi perlahan ekonomi China apabila negara tersebut mencatatkan data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian yang rendah.

"Para pelabur ketika ini sedang bergelut dengan dua isu utama ini yang meningkatkan lagi kebimbangan dan mencetuskan jualan panik.

"Situasi mengelak risiko ketika ini menjejaskan ekuiti dan FBM KLCI mungkin terus diniagakan tidak berubah," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi lemah di bursa tempatan itu sejajar dengan jualan besar-besaran di bursa seluruh rantau.

Beliau berkata indeks utama serantau ditutup rendah berikutan kebimbangan terhadap konflik di Timur Tengah yang semakin menegang, ditambah dengan jualan besar-besaran di Wall Street semalaman yang juga menjejaskan sentimen pelabur.

"Di bursa tempatan, indeks petunjuk pasaran gagal bertahan di paras sokongan 1,538. Oleh itu kami mengunjur paras sokongan penting seterusnya pada sekitar 1,528-1,530.

"Meskipun sentimen berhati-hati, kami melihat jualan itu sebagai peluang kepada pelabur untuk membeli saham berharga rendah,” katanya sambil menambah FBM KLCI dijangka diniagakan dalam jajaran 1,530-1,550 bagi tempoh berbaki minggu ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun tujuh sen kepada RM9.58, Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.11, CIMB jatuh 10 sen kepada RM6.48 dan Tenaga Nasional susut 14 sen kepada RM11.46 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.80.

Dalam kalangan kaunter cergas, TWL Holdings dan Velesto Energy turun setengah sen setiap satu masing-masing kepada tiga sen dan 27 sen, MRCB susut 3.5 sen kepada 65.5 sen, Dagang NeXchange berkurangan satu sen kepada 40 sen, manakala Sapura Energy tidak berubah pada 5.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 85.19 mata kepada 11,515.01, Indeks FBMT 100 jatuh 70.08 mata kepada 11,168.98 dan Indeks FBM 70 susut 163.05 mata kepada 15,996.80.

Indeks FBM ACE berkurangan 114.53 mata kepada 4,881.94 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 60.15 mata kepada 11,696.43.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 33.38 mata kepada 7,399.24, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.74 mata kepada 182.08, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 160.20 mata kepada 17,008.95 dan Indeks Tenaga jatuh 16.55 mata kepada 949.94.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.03 bilion unit bernilai RM3.36 bilion daripada 2.42 bilion unit bernilai RM2.88 bilion.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.14 bilion unit bernilai RM128.50 juta daripada 1.12 bilion unit bernilai RM121.17 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 744.71 juta saham bernilai RM231.13 juta daripada 723.24 juta saham bernilai RM241.84 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 292.97 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (445.59 juta), pembinaan (297.49 juta), teknologi (218.09 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (133.15 juta), hartanah (654.85 juta), perladangan (55.52 juta), REITs (12.24 juta), dana tertutup (37,500), tenaga (330.19 juta), penjagaan kesihatan (41.61 juta), telekomunikasi dan media (25.96 juta), pengangkutan dan logistik (34.84 juta), dan utiliti (77.97 juta).-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN