fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup rendah

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 14 Januari- Bursa Malaysia gagal mengekalkan momentum pembelian sepanjang hari dan ditutup pada paras terendah intra hari disebabkan jualan pada saat akhir dagangan bagi beberapa kaunter wajaran tinggi, utiliti dan perladangan yang terpilih susulan prestasi bercampur di bursa serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.13 mata atau 0.57 peratus kepada 1,576.46 daripada 1,585.59 ketika ditutup Isnin.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka 7.38 mata lebih tinggi pada 1,592.97 bergerak antara 1,576.46 dan 1,599.43 semasa sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 588 berbanding 400 manakala 529 kaunter tidak berubah, 842 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.45 bilion unit yang bernilai RM2.72 bilion berbanding 2.85 bilion unit yang bernilai RM2.54 billion ketika ditutup pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata indeks petunjuk pasaran dibuka lebih tinggi mencerminkan pengukuhan awal selain membayangkan pemulihan daripada penurunan sepanjang minggu lepas.

Bagaimanapun, momentum itu semakin berkurangan apabila sesi dagangan berlangsung, mencerminkan pendekatan berhati-hati yang berterusan dalam kalangan pelabur.

Dalam pada itu, tanda-tanda pemulihan muncul susulan aktiviti pembelian saham mewah pada harga murah.

"Keyakinan berhati-hati ini mencerminkan daya tahan asas pasaran, tetapi juga terdedah kepada tekanan luar seperti cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Mohd Sedek berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang dirasmikan minggu lepas bersedia untuk memacu pertumbuhan ekonomi serantau dan menarik pelaburan rentas sempadan.

"Walaupun impak segera inisiatif ini dibayangi oleh turun naik pasaran baru-baru ini, potensi jangka panjangnya kekal menjanjikan dengan manfaat yang mungkin menjadi lebih jelas apabila keadaan pasaran stabil," katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun turun 1.83 peratus kepada 38,474.30 dan Indeks Straits Times Singapura merosot 0.08 peratus kepada 3,788.77 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak 1.83 peratus kepada 19,219.78, Kospi Korea Selatan naik 0.31 peratus kepada 2,497.40 dan Indeks Komposit SSE China meningkat 2.54 peratus kepada 3,240.94.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur kini menantikan kejelasan sama ada tarif baharu akan diperkenalkan ke atas eksport China selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memegang jawatan minggu depan.

"Di peringkat domestik, kami kekal berhati-hati. Bagaimanapun, indeks petunjuk pasaran kelihatan hampir berada di kawasan terlebih jual, menggalakkan pengumpulan berterusan, tetapi faktor luaran dan ketidaktentuan pasaran global yang meningkat menjejaskan sentimen.

"Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,570 hingga 1,600 untuk tempoh berbaki minggu ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank bertambah 12 sen kepada RM10.20 manakala CIMB merosot 13 sen kepada RM7.97, Public Bank susut lima sen kepada RM4.40, Tenaga turun lapan sen kepada RM13.82, dan IHH berkurang dua sen kepada RM7.08.

Dalam kalangan saham aktif, TWL Holdings, Velocity Capital dan EA Holdings kekal masing-masing pada tiga sen, lapan sen dan setengah sen, MYEG merosot satu sen kepada 93.5 sen manakala Harvest Miracle menambah satu sen kepada 19.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 62.39 mata kepada 12,116.97, Indeks FBM Emas Shariah turun 57.33 mata kepada 12,053.53 dan Indeks FBMT 100 berkurang 63.01 mata kepada 11,801.64.

Indeks FBM 70 menurun 77.53 mata kepada 18,230.90 manakala Indeks FBM ACE meningkat 14.55 mata kepada 5,260.58.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 2.77 mata kepada 833.02, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 70.33 mata kepada 18,762.82, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurang 1.40 mata kepada 167.06, dan Indeks Perladangan merosot 43.59 mata kepada 7,399.36.

Jumlah dagangan Pasaran Utama bertambah kepada 1.59 bilion unit yang bernilai RM2.43 bilion berbanding 1.51 bilion unit yang bernilai RM2.29 bilion ketika ditutup pada Isnin.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.38 bilion unit yang bernilai RM139.27 juta berbanding 856.91 juta unit yang bernilai RM82.83 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 473.57 juta unit yang bernilai RM154.59 juta berbanding 484.47 juta unit yang bernilai RM167.11 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 209.06 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk perkhidmatan dan perindustrian (333.61 juta), pembinaan (111.73 juta), teknologi (288.51 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (81.02 juta), hartanah (240.65 juta), perladangan (31.03 juta), REITs (12.30 juta), ditutup/ dana (33,000), tenaga (76.83 juta), penjagaan kesihatan (54.53 juta), telekomunikasi dan media (29.32 juta), pengangkutan dan logistik (19.24 juta), utiliti (106.94 juta) dan amanah perniagaan (4,800).- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE