fb fb fb fb fb

Bantuan tunai rangsang trend perbelanjaan pengguna - Pakar

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Sebarang bentuk bayaran tunai akan merangsang trend perbelanjaan pengguna, seterusnya merancakkan kegiatan ekonomi domestik.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam akan meningkatkan kuasa beli penerima dan membolehkan mereka mempunyai lebihan wang.

"Apabila wang itu dibelanjakan maka terdapat permintaaan barangan dan perkhidmatan, sudah pasti para peniaga di semua peringkat mendapat manfaat hasil daripada perbelanjaan tersebut. Wang tersebut akan mula berkitar dan akan memberi impak secara langsung kepada kegiatan ekonomi. Jadi untuk tempoh yang terdekat ini memang akan ada suatu suntikan terutama yang mendapat manfaat insentif kepada penjawat awam ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau yakin, penerima manfaat akan membuat pertimbangan sewajarnya dan membelanjakan wang tersebut secara berhemah.

Ini termasuk meningkatkan simpanan dan pelaburan, melunaskan hutang atau menampung perbelanjaan harian.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM