fb fb fb fb fb

Bank Rakyat tawar moratorium 6 bulan kepada pelanggan terjejas banjir di Sabah

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Bank Rakyat menawarkan bantuan khas yang merangkumi kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah melibatkan empat daerah iaitu Penampang, Putatan, Tuaran serta Tamparuli.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang prihatin, pihaknya terpanggil untuk mengurangkan bebanan dan kesulitan serta berharap agar kemudahan tersebut dapat memberi kelegaan kepada penduduk terjejas banjir.

“Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani iaitu mengurangkan beban kewangan serta komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu mencabar ini.

“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.

"Ia termasuk produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihak yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan dan salinan bil utiliti bagi mengesahkan alamat pelanggan.

Ujarnya, pelanggan perniagaan juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan.

"Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my atau hubungi pusat panggilan di talian 1 300 800 800.

"Mereka juga boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat daripada semasa ke semasa," tambahnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI