KUALA LUMPUR, 2 Januari – Pelaksanaan mandatori sistem e-Invois bermula 1 Januari 2026 disifatkan sebagai antara reformasi percukaian terbesar negara yang berupaya meningkatkan ketelusan, kecekapan kutipan hasil serta memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia.
Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, inisiatif e-Invois bukan sekadar mekanisme pematuhan cukai, sebaliknya menjadi pemangkin kepada agenda pendigitalan nasional, khususnya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang membentuk lebih 97 peratus struktur perniagaan negara.
“E-Invois bukan hanya langkah pematuhan, tetapi pemboleh daya saing nasional yang mampu meningkatkan keyakinan pelabur, memudahkan akses kepada pembiayaan serta meletakkan Malaysia sebagai negara dengan sistem cukai digital yang moden dan efisien,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menunjukkan lebih 843 juta e-Invois telah direkodkan setakat ini melibatkan kira-kira 113,800 pembayar cukai, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan ekosistem perniagaan negara ke arah pendigitalan menyeluruh.
Menurut Dr Barjoyai, pelaksanaan e-Invois dijangka meningkatkan kecekapan operasi PKS menerusi automasi proses pengeluaran invois, pengurangan ralat serta penjimatan kos pentadbiran, di samping mempercepatkan pusingan pembayaran.
Dalam masa sama, beliau berkata sistem berkenaan membolehkan pemantauan transaksi dilakukan hampir secara masa nyata, sekali gus mengurangkan ketirisan hasil dan meningkatkan tahap pematuhan cukai secara lebih telus dan berkesan.
