KUALA LUMPUR, 2 Januari – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengumumkan pelantikan Tan Sri Rastam Mohd Isa sebagai pengerusi baharu syarikat itu, berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Tan Sri Rastam merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri sebelum bersara pada 2 September 2010 selepas lebih 36 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan diplomatik negara.
Pelantikan terakhir beliau sebelum menyertai PUNB adalah sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif FGV Holdings Berhad, jawatan yang disandang dari September 2023 hingga September 2025.
Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada tahun 1974 dan pernah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat antarabangsa sepanjang perkhidmatannya.
Selepas persaraan, Tan Sri Rastam dilantik sebagai Utusan Khas Kerajaan Malaysia ke Brunei Darussalam selain berkhidmat sebagai Penasihat di Jabatan Ketua Menteri Sarawak.
Beliau juga pernah menerajui Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia sebagai Pengerusi dari 2014 hingga 2020, di samping aktif dalam sektor korporat sebagai ahli lembaga pengarah serta pengerusi beberapa syarikat tersenarai.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, pengalaman luas Tan Sri Rastam diyakini mampu memberikan nilai tambah kepada organisasi itu, khususnya dalam melaksanakan Pelan Strategik Lima Tahun R30 (2026–2030) sebagai pemacu pertumbuhan usahawan Bumiputera.
