KUALA LUMPUR, 1 Januari - Pelaksanaan e-Invois dijangka membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memperkemas pengurusan perniagaan melalui penyimpanan rekod jualan dan pembelian secara digital serta lebih teratur.
Penganalisis Korporat dan Perniagaan, Mohamad Faisal Abdul Malik berkata penggunaan e-Invois membolehkan perniagaan menjimatkan masa dan kos operasi, selain mengurangkan kesilapan manual kerana dokumen tidak lagi perlu disimpan secara fizikal.
“Peniaga tidak perlu lagi menyimpan dokumen secara fizikal kerana proses perekodan menjadi lebih mudah dan pantas. Daripada sudut percukaian, maklumat yang direkod secara lebih sistematik membantu PMKS menyediakan laporan yang lebih tepat dan teratur, sekali gus mengurangkan risiko pengauditan oleh pihak LHDN,” katanya kepada RTM.
Tambahnya, pendigitalan proses perniagaan turut meningkatkan kecekapan perniagaan dan memudahkan urusan antara perniagaan dengan pelanggan, pembekal serta agensi kerajaan, sekali gus menyokong pertumbuhan PMKS secara lebih mampan.
Pelaksanaan e-Invois Fasa Empat akan berkuat kuasa mulai hari ini melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta, selaras dengan agenda reformasi percukaian dan pendigitalan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
