fb fb fb fb fb

Pelan Lima Tahun Ke-15 China buka ruang kerjasama lebih luas

Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya, Profesor Dr. Roy Anthony Rogers/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Januari - Pelan Lima Tahun Ke-15 China bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan domestik negara itu, malah turut membuka ruang kerjasama strategik yang lebih luas dengan Malaysia

Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya, Profesor Dr. Roy Anthony Rogers berkata, pelan tersebut mempunyai persamaan dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sekali gus membuka ruang kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China.

“Walaupun Pelan Lima Tahun China memberi fokus kepada pembangunan China, namun terdapat banyak
persamaan dengan RMK-13 yang membolehkan Malaysia dan China bekerjasama dalam pelbagai bidang strategik,” katanya.

Menurut beliau, antara bidang kerjasama berpotensi termasuk pembangunan teknologi maklumat (IT), kecerdasan buatan (AI) serta pertumbuhan ekonomi mampan, selari dengan hala tuju pembangunan jangka panjang kedua-dua negara.

Tambahnya, kerjasama di bawah pelan baharu ini juga boleh diperluaskan kepada teknologi hijau dan pembangunan mampan melalui pertukaran kepakaran serta perkongsian teknologi,sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rangka Tindakan Baharu, Horizon Baharu: Taklimat Rancangan Lima Tahun Ke-15 China, di ibu negara.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI