fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia sedikit lemah pada hari dagangan terakhir 2025

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 31 Disember- Bursa Malaysia menutup hari dagangan terakhir 2025 dengan prestasi yang sedikit lemah, susut 0.26 peratus di tengah-tengah keadaan yang negatif berikutan tiadanya pemangkin baharu dan selari dengan kelemahan di pasaran serantau.

Pada pukul 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.42 mata kepada 1,680.11 daripada 1,684.53 ketika ditutup Selasa.

Indeks barometer yang dibuka 2.75 mata lebih rendah pada paras tertinggi intra hari iaitu 1,681.78, kemudian susut ke paras terendah 1,671.59 semasa sesi pertengahan pagi, sebelum bergerak mendatar sepanjang sesi petang dan mendapat sedikit momentum menjelang penutupan.

Pasaran secara keseluruhannya menunjukkan situasi negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 534 berbanding 462, manakala 552 kaunter tidak berubah, 1,138 tidak diniagakan dan 41 lagi digantung.

Jumlah dagangan mencatatkan 1.89 bilion unit bernilai RM1.94 bilion berbanding 1.88 bilion unit bernilai RM1.90 bilion pada Selasa.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata bursa tempatan mencatatkan satu lagi sesi dagangan yang hambar, dengan jumlah dagangan kekal di bawah dua bilion unit berbanding purata harian sekitar tiga bilion unit.

“Walaupun data luaran menyuntik sokongan, kekurangan penyertaan domestik yang berterusan mengehadkan momentum kenaikan,” katanya kepada Bernama sambil menambah FBM KLCI menghasilkan pulangan sebanyak 2.30 peratus setakat tahun ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.48, CIMB naik dua sen kepada RM8.25, Public Bank tidak berubah pada RM4.54, Tenaga Nasional menyusut enam sen kepada RM13.72, manakala IHH meningkat 15 sen kepada RM8.75.

Bagi saham paling aktif, Zetrix dan Mr DIY masing-masing susut satu sen kepada 81 sen dan RM1.53, Pharmaniaga turun setengah sen kepada 28.5 sen, Inari Amertron merosot dua sen kepada RM1.68, manakala Tanco meningkat satu sen kepada RM1.16.

Antara saham paling untung, Nestle meningkat 60 sen kepada RM114.0, Dutch Lady naik 20 sen kepada RM31.0, Magna Prima melonjak 14.5 sen kepada 72 sen, Lysaght bertambah 14 sen kepada RM2.55, manakala Sime Darby naik 11 sen kepada RM2.15.

Dalam kalangan saham paling rugi, Malaysian Pacific Industries merosot 64 sen kepada RM32.24, Hong Leong Bank turun 40 sen kepada RM22.14, F&N susut 30 sen kepada RM35.50, Petronas Gas berkurangan 26 sen kepada RM18.14, manakala United Plantations menurun 18 sen kepada RM30.06.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 24.87 mata kepada 12,303.67, Indeks FBMT Top 100 susut 28.98 mata kepada 12,107.41, manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 23.28 mata kepada 12,096.29.

Indeks FBM Mid 70 turut menurun 27.06 mata kepada 16,803.39, manakala Indeks FBM ACE meningkat 11.65 mata kepada 4,872.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 63.44 mata kepada 19,703.35, Indeks Perladangan turun 17.30 mata kepada 8,324.89, Indeks Tenaga merosot 1.42 mata kepada 767.31, manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menyusut 0.21 mata kepada 173.62.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.29 bilion unit bernilai RM1.81 bilion daripada 1.18 bilion unit bernilai RM1.76 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menurun kepada 314.31 juta unit bernilai RM30.39 juta daripada 423.74 juta unit bernilai RM47.03 juta pada semalam.

Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 285.56 juta unit bernilai RM93.67 juta daripada 272.99 juta unit bernilai RM87.94 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 263.31 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (178.54 juta), pembinaan (89.71 juta), teknologi (199.12 juta), perkhidmatan kewangan (68.54 juta), hartanah (192.36 juta), perladangan (20.82 juta), amanah pelaburan hartanah (15.61 juta), dana tertutup (200), tenaga (74.34 juta), penjagaan kesihatan (82.84 juta), telekomunikasi dan media (34.93 juta), pengangkutan dan logistik (33.39 juta), utiliti (33.76 juta) dan amanah perniagaan (104,900).

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup esok, 1 Januari bersempena cuti umum Tahun Baharu 2026. -BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM