fb fb fb fb fb

Momentum ekonomi Malaysia kukuh, penunjuk MET lonjak ke zon kestabilan tinggi

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 1 Januari -Momentum ekonomi Malaysia menunjukkan pengukuhan ketara pada Disember apabila penunjuk makroekonomi bulanan, IPP MY36 Thermometer atau MET melonjak kepada 86.2 peratus, sekali gus meletakkan ekonomi negara dalam zon kestabilan tinggi hingga kukuh.

Peningkatan itu menandakan peralihan jelas daripada fasa penstabilan lewat kepada fasa pemulihan awal, yang kini didorong oleh aktiviti ekonomi sebenar, khususnya permintaan domestik.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Analisis Ekonomi IPP Financial Advisers Malaysia (IPPFA), Mohd Sedek Jantan berkata, pertumbuhan kini digerakkan oleh perbelanjaan pengguna, pasaran pekerjaan yang kukuh serta sektor perkhidmatan domestik, dan bukan lagi bergantung kepada sokongan pasaran kewangan semata-mata.

"Peningkatan pendapatan sebenar dan guna tenaga telah mengukuhkan keyakinan dalam sektor perkhidmatan, borong dan runcit, manakala sektor pembuatan pula menunjukkan tanda-tanda awal pemulihan hasil kestabilan rantaian bekalan serantau dan permintaan elektronik global," katanya menerusi satu kenyataan.

Pada masa sama, keadaan kewangan kekal menyokong dengan ringgit yang stabil, pasaran bon teratur serta pasaran saham yang berdaya tahan, sekali gus memperkukuh trajektori pemulihan ekonomi.

IPPFA menjangkakan ketahanan domestik ini akan meningkatkan daya tahan Malaysia terhadap kejutan luaran, sekali gus meletakkan asas pertumbuhan yang lebih mampan memasuki tahun 2026.

TETITIA YUSOFF