KUALA LUMPUR, 2 Januari -Pasaran derivatif Bursa Malaysia Bhd mencipta rekod apabila mencapai jumlah dagangan tahunan tertinggi dalam sejarah untuk tahun kedua berturut-turut pada 2025 dengan 23.30 juta kontrak, meningkat dua peratus tahun ke tahun.
Dalam satu hantaran di media sosialnya hari ini, Bursa Malaysia berkata pencapaian rekod tertinggi berturut-turut itu mencerminkan bagaimana para peserta pasaran semakin beralih kepada bursa berkenaan untuk mengharungi ketidaktentuan dan mengurus risiko dalam persekitaran global yang berubah-ubah.
“Niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) terus menerajui pasaran dengan 19.62 juta kontrak diniagakan, meningkat empat peratus didorong terutamanya oleh faktor ekonomi sebenar seperti dasar biodiesel, gangguan cuaca, perkembangan geopolitik dan perubahan aliran perdagangan.
“Ini juga memperkukuh peranan derivatif yang diniagakan di bursa dalam mengharungi ketidaktentuan,” katanya.
Bursa Malaysia berkata mudah tunai turut meningkat merentas pelbagai produk, dibuktikan dengan beberapa pencapaian penting termasuk pasaran derivatifnya yang merekodkan jumlah dagangan harian sebanyak 197,458 kontrak pada 29 Okt, 2025.
“Dagangan selepas waktu pasaran biasa niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FKLI) turut mencatat paras tertinggi baharu dengan 7,979 kontrak pada 25 Mac, 2025, manakala niaga hadapan emas (FGLD) merekodkan jumlah dagangan harian tertinggi sejak dilancarkan semula dengan sebanyak 1,193 kontrak pada 11 April, 2025,” katanya.
Bursa Malaysia menambah pihaknya kekal dalam memberi tumpuan kepada pengukuhan mudah tunai, memperluaskan akses dan penyediaan produk yang menyokong penemuan harga dan pemindahan risiko yang berkesan, sambil terus komited untuk menjadi pasaran yang boleh dipercayai pada tahun-tahun mendatang. - BERNAMA
