fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Ringgit terus ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan data ekonomi AS yang lemah menyebabkan mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit meningkat, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 6.00 petang, ringgit mengukuh kepada 4.7080/7100 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7180/7210 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Rashid berkata, halangan seterusnya adalah data Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat.

"Anggaran konsensus menetapkan data NFP AS pada 189,000 untuk Jun, lebih rendah berbanding 272,000 pada Mei, sementara kadar pengangguran di AS dijangka kekal pada 4.0 peratus," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam menyatakan ringgit cuba untuk melepasi paras RM4.71.

"Bagaimanapun jangkaan terhadap Rizab Persekutuan (Fed) yang cenderung kepada dasar monetari agresif telah menyebabkan ringgit kekal diniagakan dalam jajaran yang sempit," tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih lemah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9195/9209 daripada 2.9149/9169 ketika ditutup pada Rabu dan melepasi paras RM6 berbanding pound Britain apabila ditutup kepada 6.0022/0048 daripada 5.9895/9933 semalam.

Ia juga jatuh berbanding euro kepada 5.0837/0859 daripada 5.0737/0770 sebelumnya.

Ringgit juga ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang di negara-negara ASEAN yang lain.

Ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 288.2/288.5 daripada 288.1/288.5 pada Rabu, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4830/4848 daripada 3.4778/4803 semalam dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.8483/8590 daripada 12.8346/8466 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.03/8.04.- BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA