fb fb fb fb fb

Zoo Washington sambut kelahiran tapir Malaya selepas 120 tahun

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 10 Februari- Seekor anak tapir Malaya yang terancam dilahirkan di Point Defiance Zoo and Aquarium di sini pada awal bulan ini menjadikannya kelahiran kedua spesies itu dalam sejarah 120 tahun zoo berkenaan.

Anak tapir berbintik putih dan belang seperti "tembikai berjalan" itu berada dalam keadaan sihat serta menjalani proses penyesuaian dengan ibunya, Yuna, 10 tahun, bawah pemantauan rapi penjaga hidupan liar. Bapanya, Baku, 10 tahun, turut berada berhampiran.

Ketua penjaga haiwan, Telena Welsh berkata, "Kami sangat teruja menyaksikan detik istimewa ini dan tidak sabar melihat anak tapir ini membesar."

Anak tapir seberat kira-kira sembilan kilogram (kg) itu jauh lebih kecil berbanding Yuna yang seberat 408kg dan Baku, 363kg.

Buat masa ini, ia masih menyusu dan ditempatkan di Asian Forest Sanctuary sebelum diperkenalkan kepada umum pada musim bunga nanti.

Yuna dan Baku dipadankan menerusi Species Survival Plan bagi menyokong kepelbagaian genetik tapir Malaya dalam kurungan.

Jantina serta nama anak tapir itu akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

Tapir Malaya diklasifikasikan spesies terancam akibat kehilangan habitat akibat penebangan hutan dan pembangunan. Ia memainkan peranan penting dalam ekosistem dengan menyebarkan benih dan menyokong biodiversiti. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA