COLOMBO, 10 Februari- Sri Lanka mengalami gangguan bekalan elektrik di seluruh negara pada Ahad selepas seekor monyet menceroboh sebuah pencawang grid elektrik.
Menteri Tenaga Kumara Jayakody berkata gangguan itu berlaku sekitar pukul 11.30 pagi waktu tempatan apabila monyet berkenaan menyentuh transformer grid menyebabkan ketidakseimbangan dalam sistem.
"Seekor monyet telah menyentuh transformer kami, menyebabkan ketidakseimbangan dalam sistem," katanya kepada media.
Beliau turut memaklumkan bahawa insiden itu berlaku di sebuah kawasan pinggir selatan Colombo.
Jayakody berkata sebahagian kawasan telah menerima semula bekalan elektrik, namun usaha pemulihan masih dijalankan.
"Jurutera kami sedang berusaha untuk memulihkan bekalan secepat mungkin," tambahnya.
Kejadian itu mengingatkan rakyat Sri Lanka kepada krisis tenaga pada 2022 apabila negara itu mengalami pemadaman elektrik berpanjangan sehingga 13 jam sehari akibat kekurangan bahan api ketika kemelut ekonomi. -AFP