fb fb fb fb fb

Letusan Gunung Semeru : Status amaran dinaikkan ke tahap tertinggi

Orang ramai dinasihat tidak melakukan sebarang aktiviti, elak risiko / Foto AFP

SURABAYA, 20 November - Pihak berkuasa Indonesia menaikkan status amaran ke tahap tertinggi, susulan letusan Gunung Semeru di timur Pulau Jawa, sejak Rabu.

Letusan berkenaan, telah menghasilkan campuran gas panas, abu serta batu yang membahayakan lokasi sekitar.

Ketua Agensi Geologi Indonesia, Muhammad Wafid menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius 8 kilometer dari puncak kawah Gunung Semeru, bagi mengelak sebarang risiko.

Agensi bencana tempatan turut melaporkan, kepulan asap tebal naik setinggi 8 kilometer ke ruang udara.

Sekurang-kurangnya 300 penduduk kampung yang tinggal berhampiran gunung berapi berkenaan, telah dipindahkan ke dua pusat penempatan sementara.

Setakat ini, Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali masih beroperasi seperti biasa.

Pada 2021, letusan Gunung Semeru telah mengorbankan lebih 50 nyawa dan lebih 5,000 kediaman rosak sehingga memaksa hampir 10,000 individu dipindahkan.

Gunung Semeru adalah antara hampir 130 gunung berapi aktif di Indonesia yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang sering mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi akibat pertembungan plat tektonik. - AFP

FAUZIAH ABD RAHMAN