fb fb fb fb fb

Lebih 40,000 kanak-kanak disasar sertai kempen vaksinasi

WHO komited perhebat perkhidmatan kesihatan di Gaza / Foto AFP

GENEVA, 20 November - Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) menyasarkan lebih 40,000 kanak-kanak di Gaza menerima vaksin bagi melindungi mereka daripada penyakit antaranya hepatitis B, polio dan radang paru-paru.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata fasa pertama program vaksinasi itu dilanjutkan sehingga Sabtu.

"Lebih 10,000 kanak-kanak berusia bawah tiga tahun telah menerima vaksin sepanjang tempoh lapan hari pertama sejak kempen dilancarkan 9 November lepas.

"WHO dengan kerjasama UNICEF, UNRWA serta Kementerian Kesihatan di Gaza merancang untuk melaksanakan kempen fasa kedua dan ketiga, masing-masing pada bulan depan dan Januari 2026,"katanya.

WHO sentiasa komited untuk memperhebat perkhidmatan kesihatan di Gaza dan menyokong pembinaan semula sistem kesihatan yang telah musnah.

Kementerian Kesihatan memaklumkan angka korban di Gaza meningkat kepada hampir 70,000 nyawa dengan kanak-kanak dan wanita mencatatkan angka tertinggi sejak serangan Zionis pada Oktober 2023. - AFP

FAUZIAH ABD RAHMAN