LONDON, 10 Februari- Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menggesa pemimpin dunia lain untuk menjalani ujian HIV secara terbuka di hadapan kamera.
Seruan itu dibuat selepas beliau menjadi perdana menteri Britain pertama dan pemimpin G7 pertama yang mengambil ujian tersebut.
Pejabat beliau pada Isnin mengeluarkan rakaman Starmer menjalani ujian pantas HIV di kediaman rasmi Perdana Menteri di Downing Street pada Jumaat, sebagai sokongan kepada inisiatif ujian HIV peringkat kebangsaan selama seminggu.
Menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), dianggarkan seramai 4,700 individu di England masih hidup dengan HIV yang tidak didiagnosis.
Peningkatan jumlah ujian adalah strategi utama untuk mengenal pasti mereka.
Disember lalu, Starmer berikrar bahawa kerajaan pimpinannya akan menamatkan kes baharu HIV di England menjelang 2030, dengan satu "Pelan Tindakan HIV".
Pelan baharu itu akan diterbitkan tahun ini dan memperincikan langkah-langkah mencapai sasaran tersebut.
"Saya rasa tugas saya sekarang adalah untuk bercakap dengan perdana menteri dan pemimpin di seluruh dunia dan berkata, anda juga harus melakukannya di negara masing-masing," katanya kepada akhbar Britain, Metro, sejurus selepas menjalani ujian tersebut.
Jika orang ramai menjalani ujian, mereka akan mengetahui status kesihatan mereka. Lebih baik jika mereka tahu.
Mereka boleh mendapatkan rawatan dengan segera, dan ini juga akan membantu kita mencapai sasaran bersama untuk menamatkan jangkitan baharu HIV menjelang 2030," tambahnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.
Inisiatif ujian HIV selama seminggu berkenaan dianjurkan oleh Terrence Higgins Trust dan dibiayai oleh Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial.
Ia telah dilaksanakan setiap tahun di England sejak 2012.- AFP