fb fb fb fb fb

Ketua AI Intel ambil alih tugas CEO Nokia, demi kelangsungan syarikat

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi Nokia, Pekka Lundmark (kiri), Pengerusi Lembaga Pengarah Nokia, Sari Baldauf (tengah), serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nokia yang baharu, Justin Hotard, menghadiri sidang akhbar syarikat itu di Espoo, Finland pada 10 Februari 2025/AFP

HELSINKI, 10 Februari- Syarikat gergasi peralatan telekomunikasi Finland, Nokia mengumumkan pada Isnin bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Pekka Lundmark akan meletakkan jawatan.

Jawatan yang ditinggalkan itu bakal digantikan oleh Justin Hotard, ketua bahagian kecerdasan buatan (AI) dan pusat data di syarikat pembuat cip Amerika Syarikat, Intel.

Lundmark, yang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Nokia sejak 2020, akan berundur pada 31 Mac, menurut kenyataan syarikat itu.

"Saya ingin beralih daripada peranan eksekutif untuk bekerja dalam kapasiti berbeza, seperti sebagai profesional lembaga pengarah," kata Lundmark, yang telah menerajui beberapa syarikat tersenarai selama lebih 20 tahun.

Hotard, yang kini merupakan Naib Presiden Eksekutif Intel dan Pengurus Besar kumpulan kecerdasan buatan serta pusat data syarikat itu, akan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Nokia pada 1 April.

Menurut Nokia, Hotard mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam pelbagai jawatan kepimpinan di syarikat teknologi besar seperti Hewlett Packard dan NCR Corporation.

"Saya teruja untuk memulakan tugas dan tidak sabar untuk meneruskan perjalanan transformasi Nokia bagi memaksimumkan potensi pertumbuhan serta penciptaan nilai," kata Hotard.

"Rangkaian telekomunikasi adalah tulang belakang yang menggerakkan masyarakat dan perniagaan serta memungkinkan peralihan teknologi generasi baharu seperti yang sedang berlaku dalam AI," tambahnya.

Pengerusi Nokia, Sari Baldauf berkata Hotard mempunyai rekod kukuh dalam mempercepat pertumbuhan syarikat teknologi serta kepakaran luas dalam pasaran AI dan pusat data, yang merupakan bidang kritikal bagi pertumbuhan masa depan Nokia.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM