BUENOS AIRES, 27 Oktober- Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala 29 lagi cedera selepas sebuah bas dua tingkat milik syarikat Sol del Norte bertembung dengan sebuah kereta sebelum terjunam ke dalam sungai kecil di wilayah Misiones, timur laut Argentina, awal pagi Ahad.
Kejadian berlaku di Lebuhraya Nasional 14 berhampiran Campo Viera dengan kerja menyelamat oleh pihak keselamatan terus dipergiat.
"Tragedi ini berlaku apabila sebuah kereta Ford Focus bertembung secara berdepan dengan bas laluan di pintu masuk jambatan, menyebabkan bas tersebut terhumban ke dalam sungai,” kata Pengarah Kesihatan Zon Tengah Uruguay, Horacio Mielniczuk.
Beliau berkata sebanyak 11 ambulans dikerahkan ke lokasi dengan bantuan anggota bomba sukarela dari Obera, Campo Viera dan Alem.
Empat daripada mangsa yang terkorban merupakan pelajar universiti.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Awam SAMIC di Obera untuk proses perundangan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Polis, bomba, petugas kesihatan, sukarelawan dan agensi kerajaan tempatan bekerja sepanjang pagi bagi membantu mangsa, mengeluarkan serpihan kenderaan serta menyelamatkan penumpang yang terperangkap dalam bas.
Sementara itu, 29 mangsa cedera berusia antara lima hingga 67 tahun menerima rawatan di hospital Obera dan Campo Viera, dengan empat daripadanya dipindahkan ke Hospital Madariaga di Posadas untuk rawatan pakar.
Bas berkenaan dilaporkan berlepas dari Obera menuju ke bandar Dos de Mayo dengan destinasi akhir di Puerto Iguazu, wilayah Misiones. -VIORY