LAHORE, 27 Oktober- Pihak berkuasa wilayah Punjab terpaksa memendekkan waktu persekolahan susulan bandar Lahore pada Isnin diselubungi tahap jerebu toksik yang membahayakan.
Langkah itu bagi melindungi murid daripada pendedahan pencemaran udara pada waktu puncak pagi.
Indeks Kualiti Udara (AQI) di bandar itu mencatatkan bacaan 308 pada pukul 8.00 pagi waktu tempatan sekali gus meletakkannya dalam kategori "berbahaya", menurut data perkhidmatan pemantauan kualiti udara.
Jabatan Pendidikan Sekolah Punjab dalam kenyataan berkata waktu persekolahan kini akan bermula pada pukul 8.45 pagi hingga pukul 1.30 petang, berkuat kuasa serta-merta.
Langkah itu menerima reaksi bercampur daripada ibu bapa, menyokong keputusan tersebut demi kesihatan anak-anak manakala sebahagian lain meluahkan kebimbangan terhadap gangguan rutin harian dan penjagaan anak.
“Saya bersyukur sekolah mula lewat, tetapi jerebu semakin teruk dan anak-anak kami menderita,” kata Mohammad Nadeem, bapa pelajar.
Nadeem turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan sesi kedua atau cuti tambahan, memandangkan ramai kanak-kanak kini mengalami masalah kesihatan seperti sakit tekak, batuk dan demam.
Bagaimanapun, segelintir ibu bapa seperti Mohammad Saleem mempersoalkan keperluan dan masa pelaksanaan perubahan itu.
“Kami berdepan pelbagai kesulitan dengan jadual baharu ini. Kami perlu berulang-alik ke tempat kerja dan ia menambah beban kami,” katanya.
Perubahan waktu persekolahan itu mencerminkan kesukaran berterusan yang dihadapi pihak berkuasa dan penduduk Lahore ketika krisis jerebu tahunan semakin meruncing. -REUTERS