VILNIUS, 27 Oktober- Lithuania telah mengisytiharkan bahawa negaranya akan mula akan mula menembak jatuh belon penyeludup yang melintasi sempadan dari Belarus.
Perdana Menteri Lithuania, Inga Ruginiene mengumumkan perkara itu pada Isnin selepas kejadian berulang kali menjejaskan ruang udara negara Baltik itu.
Menurut beliau, Lapangan Terbang Vilnius ditutup sebanyak empat kali minggu lalu selepas belon-belon tersebut dikesan memasuki ruang udara Lithuania dan setiap kali insiden berlaku, lintasan sempadan dengan Belarus turut ditutup sementara sebagai langkah keselamatan.
Pihak berkuasa Lithuania berkata belon itu digunakan oleh penyeludup bagi membawa rokok seludup dari Belarus ke Kesatuan Eropah (EU).
Namun, turut menuduh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, sekutu rapat Presiden Rusia, Vladimir Putin kerana gagal menghentikan aktiviti tersebut.
Setakat ini, Belarus belum memberikan sebarang maklum balas berhubung dakwaan itu.
Ruginiene menyifatkan kejadian itu sebagai “serangan hibrid” dan memaklumkan bahawa lintasan sempadan dengan Belarus akan ditutup kecuali bagi perjalanan diplomatik serta warganegara EU yang ingin meninggalkan negara jiran berkenaan.
Beliau turut menambah bahawa Lithuania, sebagai anggota NATO, mungkin akan membincangkan kemungkinan mengaktifkan Perkara 4 Perjanjian NATO, yang membolehkan rundingan keselamatan diadakan apabila keselamatan mana-mana negara anggota terancam.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sektor penerbangan Eropah turut berdepan gangguan berulang akibat pengesanan dron dan pencerobohan udara di beberapa lapangan terbang utama termasuk di Copenhagen, Munich dan rantau Baltik. -REUTERS