fb fb fb fb fb

Pesawat tentera AS terhempas, China sedia membantu

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun/REUTERS

BEIJING, 27 Oktober- Kementerian Luar China pada Isnin menyatakan kesediaan untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada Amerika Syarikat (AS), susulan insiden dua pesawat Tentera Laut AS yang terhempas di Laut China Selatan ketika menjalani latihan ketenteraan.

Jurucakap kementerian itu, Guo Jiakun berkata penempatan kerap kapal perang dan pesawat tentera AS di Laut China Selatan bagi menunjukkan kekuatan ketenteraan merupakan punca utama kepada masalah keselamatan maritim dan menggugat keamanan serta kestabilan serantau.

“Penempatan berterusan aset ketenteraan Amerika Syarikat di perairan ini adalah akar kepada ketegangan maritim yang berlaku,” katanya dalam sidang media harian di Beijing, hari ini.

Menurut Tentera Laut AS, sebuah helikopter dan sebuah jet pejuang milik angkatan itu terhempas secara berasingan di Laut China Selatan dalam tempoh sejam pada Ahad ketika menjalankan operasi rutin dari kapal pengangkut pesawat yang sama.

Bagaimanapun, semua anggota yang terlibat dilaporkan selamat.

Kejadian itu berlaku ketika Presiden Donald Trump sedang melakukan lawatan rasmi ke Asia. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM