fb fb fb fb fb

63 individu serbu mahkamah didakwa, protes penahanan Yoon Suk Yeol

Foto Reuters

SEOUL, 10 Februari- Pendakwa raya Korea Selatan pada Isnin mendakwa seramai 63 individu susulan insiden serbuan ke atas sebuah bangunan mahkamah bulan lalu.

Serbuan itu dilaksana sebagai protes terhadap penahanan Presiden yang dipecat, Yoon Suk Yeol.

Menurut pegawai pendakwaan, sebahagian daripada mereka berdepan pertuduhan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Pada awal pagi 19 Januari, ratusan penyokong Yoon yang berang menyerbu Mahkamah Daerah Barat Seoul, memusnahkan harta benda dan menceroboh bilik hakim, malah ada yang menyiarkan kejadian itu secara langsung.

Mereka merempuh kawalan polis selepas seorang hakim meluluskan waran untuk melanjutkan tempoh tahanan Yoon, yang sebelum ini mengisytiharkan undang-undang tentera secara singkat pada 3 Disember.

Yoon menjadi presiden Korea Selatan pertama yang ditahan ketika masih memegang jawatan dan kini didakwa atas tuduhan pemberontakan.

Menurut pegawai pendakwaan, 62 daripada 63 individu yang didakwa masih dalam tahanan, manakala lapan lagi masih dalam siasatan dan berkemungkinan akan menghadapi pertuduhan tambahan.

Insiden kekecohan yang menyaksikan orang ramai mengatasi kawalan polis dan mengamuk dalam bangunan mahkamah mengejutkan negara itu.

Tindakan itu menerima kecaman daripada pegawai kerajaan yang menyifatkannya sebagai ancaman serius terhadap sistem kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

Mengikut garis panduan hukuman mahkamah, sabitan atas tuduhan menghalang tugas rasmi, boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Yoon turut berdepan perbicaraan berasingan di Mahkamah Perlembagaan yang sedang meneliti pemecatannya oleh parlimen atas dakwaan melanggar tanggungjawab perlembagaan sebagai presiden.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM