fb fb fb fb fb

Persidangan Keselamatan Munich, rundingan perang Ukraine-Rusia jadi tumpuan

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy/Foto Fail Reuters

KIEV, 10 Februari- Kehadiran Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy ke Persidangan Keselamatan Munich (MSC) akan menjadi tumpuan sekali gus menjadi platform terhadap usaha penamatan konflik perangnya dengan Rusia.

Persidangan yang berlangsung dari Jumaat hingga Ahad di selatan Jerman itu turut akan dihadiri oleh wakil kanan pentadbiran baharu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Pengerusi MSC, Christoph Heusgen memaklumkan bahawa delegasi AS akan terdiri daripada Naib Presiden JD Vance, Setiausaha Negara Marco Rubio serta utusan khas presiden bagi perang Ukraine-Rusia, Keith Kellogg.

Menurut Heusgen, kehadiran Zelenskyy secara fizikal membolehkan perbincangan bersemuka dengan wakil sekutu utama Kiev.

"Kami berharap Munich akan menjadi platform untuk kemajuan dalam rundingan damai di Ukraine dan terdapat petanda positif ke arah itu.

"Kami menjangkakan rundingan akan berlangsung di luar sesi utama. Saya tidak dapat mengesahkan sama ada satu pelan damai akan diumumkan, namun saya yakin persidangan ini akan memberi gambaran awal mengenai arah penyelesaian konflik," kata bekas diplomat itu dalam sidang media di Berlin.

Tambah Heusgen, kehadiran Keith Kellogg sebagai utusan khas presiden AS menunjukkan kemungkinan kemajuan boleh dicapai di Munich.

Persidangan keselamatan berprofil tinggi itu berlangsung beberapa minggu sebelum ulang tahun ketiga pencerobohan penuh Rusia ke atas Ukraine.

Ia juga berpotensi menjadi peluang pertama bagi pegawai kanan AS untuk berunding secara langsung dengan wakil Ukraine sejak Trump kembali ke White House, bulan lalu.

Sepanjang kempennya, Trump berjanji untuk menamatkan perang dengan pantas, namun tidak memberikan butiran jelas mengenai caranya.

Bagaimanapun, katanya, tiada wakil rasmi kerajaan Rusia yang akan menghadiri persidangan itu.

"Tiada sesiapa dari pihak rasmi Rusia yang menunjukkan minat untuk hadir," katanya.

Sebaliknya, penganjur telah "menjemput rakyat Rusia daripada pertubuhan bukan kerajaan, pembangkang, sama ada yang masih berada di Rusia mahupun yang dalam buangan."- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM