SEOUL, 10 Februari- Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia akibat tikaman di sebuah sekolah rendah di Korea Selatan pada Isnin.
Seorang wanita berusia 40-an yang turut mengalami kecederaan tikaman disiasat sebagai suspek dalam kejadian itu.
Polis sedang menjalankan siasatan di bandar Daejeon, dengan wanita tersebut dikenal pasti sebagai suspek utama, menurut laporan media yang memetik kenyataan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, polis belum memberikan maklum balas kepada permintaan Reuters untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Menurut pegawai bomba tempatan, kanak-kanak itu mengalami kecederaan tikaman di bahagian leher dan muka sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.
Media tempatan melaporkan bahawa wanita tersebut merupakan seorang guru di sekolah berkenaan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.
Agensi berita Yonhap melaporkan bahawa wanita itu kemudian mengaku bertanggungjawab atas jenayah tersebut.
Laporan turut menyebut bahawa suspek sebelum ini mengambil cuti akibat masalah kemurungan sebelum kembali bertugas pada akhir tahun lalu.- REUTERS