GUATEMALA CITY, 10 Februari- Sebuah bas yang membawa 75 penumpang terjunam ke dalam jurang di Guatemala City pada Isnin, mengorbankan sekurang-kurangnya 31 mangsa.
Insiden itu turut menyebabkan beberapa yang lain terperangkap di bawah serpihan dalam sungai, menurut pasukan penyelamat.
"Setakat ini, 31 mayat telah dikeluarkan dari bas dan kami sedang berusaha menyelamatkan mangsa lain yang masih terperangkap," kata jurucakap perkhidmatan bomba bandar itu, Mynor Ruano, kepada pemberita.
Pasukan kecemasan berjaya mengeluarkan 10 mangsa yang cedera, sementara beberapa individu yang mengalami kecederaan serius telah dikejarkan ke hospital berdekatan.
Menurut laporan media tempatan, bas tersebut sedang dalam perjalanan ke Guatemala City dari bandar San Agustin Acasaguastlan, di daerah El Progreso, kira-kira 90 kilometer ke timur laut ibu negara.
Kejadian berlaku pada awal pagi apabila bas tersebut terjatuh dari Puente de Belice, sebuah jambatan di pintu masuk utara ibu kota Guatemala, ke dalam sungai yang tercemar dengan sisa kumbahan.
Pihak polis kini sedang menyiasat punca kemalangan tersebut.- AFP