fb fb fb fb fb

Zionis tembak mati penjawat awam Lubnan

Tentera Zionis mengebom Lubnan meskipun gencatan senjata berkuat kuasa /Foto AFP

BEIRUT, 30 Oktober - Seorang kakitangan kerajaan di selatan Lubnan terbunuh selepas tentera Zionis Israel menyerang bangunan kerajaan tempatan di Blida.

Tindakan zalim itu mencetuskan arahan segera daripada Presiden, Joseph Aoun supaya tentera Lubnan menentang sebarang pencerobohan Israel.

Menurut media tempatan, tentera rejim itu menyerbu bangunan majlis perbandaran Blida dan menembak mati pekerja, Ibrahim Salameh ketika bertugas.

Kementerian Kesihatan Lubnan mengesahkan kematian tersebut.

Tinjauan di lokasi kejadian menyaksikan kesan peluru pada dinding dan tingkap bangunan itu, manakala lantai bilik Salameh berlumuran darah.

Israel seperti kelaziman menggunakan alasan tidak masuk akal, mendakwa serangan dibuat bagi membongkar infrastruktur Hizbullah dengan menembak 'suspek' yang dianggap mengancam nyawa.

Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam mengecam serbuan itu sebagai pencerobohan terang-terangan terhadap kedaulatan Lubnan.

Manakala Hizbullah menyifatkan pembunuhan Salameh sebagai tindakan kejam, selain memuji langkah Presiden mengarahkan tentera bertindak balas.

Serangan itu berlaku walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah dimeterai pada November tahun lalu.

Namun, Israel masih mengekalkan tenteranya di lima kawasan di selatan Lubnan dan terus melancarkan serangan udara berkala.

Media tempatan turut melaporkan letupan di sebuah dewan keagamaan di kampung Adaisseh serta serangan udara berhampiran Mahmudiyah dan Labbouneh, pada hari sama.

Menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, 111 orang awam telah terbunuh di Lubnan sejak gencatan senjata berkuat kuasa, ketika ketegangan di sempadan terus meningkat. - AFP

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN