ZAGREB, 30 Oktober – Croatia akan memperkenalkan semula program latihan khidmat negara wajib bagi lelaki berusia 18 tahun mulai tahun depan, dengan tempoh latihan selama dua bulan.
Kementerian Pertahanan memaklumkan wanita akan dikecualikan daripada kewajipan tersebut, namun boleh menyertai latihan secara sukarela.
Program itu kembali diaktifkan selepas 17 tahun dimansuhkan kerajaan.
Bagi individu yang menolak atas alasan prinsip (conscientious objectors), mereka boleh menjalani perkhidmatan awam selama tiga hingga empat bulan sebagai alternatif.
Rekrut akan menerima latihan asas ketenteraan serta pendedahan kepada peralatan moden.
Menurut Pengarah Sumber Manusia Kementerian Pertahanan, Ivan Jusic, peserta tidak akan dilatih sepenuhnya mengendalikan senjata canggih, namun semua akan dilatih sebagai infantri asas.
Kerajaan berharap langkah ini dapat menangani kekurangan anggota dalam tentera Croatia, yang disifatkan penganalisis ketenteraan Goran Redzepovic sebagai masalah utama angkatan bersenjata negara itu.
Namun, Redzepovic turut mempersoalkan keberkesanan program itu dalam konteks peperangan moden yang melibatkan dron dan peperangan elektronik, sambil menambah latihan asas mungkin tidak banyak meningkatkan keupayaan tempur.
Program perkhidmatan wajib itu dijangka melibatkan sehingga 4,000 rekrut pada tahun pertama pelaksanaannya. - REUTERS