KINSHASA, 31 Oktober – Lebih 27 juta penduduk Congo berdepan krisis kebuluran terburuk menjelang awal tahun depan susulan penyusutan mendadak bantuan antarabangsa, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam laporan bersama, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Program Makanan Sedunia (WFP) menyatakan hampir empat juta orang kini berada pada tahap darurat kelaparan, dengan keadaan dijangka semakin parah tanpa bantuan segera.
WFP berkata kekurangan dana telah memaksa agensi itu mengurangkan penerima bantuan daripada 2.3 juta kepada hanya 600,000 orang tahun ini, dengan defisit kewangan mencecah AS$349 juta (sekitar RM1.65 bilion).
Agensi itu kini memohon pembiayaan kecemasan sebanyak AS$127 juta, memberi amaran semua bantuan di Congo mungkin dihentikan sepenuhnya mulai Februari jika dana tidak diterima segera.
“Jutaan nyawa kini terancam dan kestabilan serantau bakal terjejas. Tindakan mesti diambil sekarang sebelum segalanya terlambat,” kata pengarah negara sementara WFP, Cynthia Jones.
PBB turut menegaskan negara Afrika yang kaya sumber galian itu terus dibelenggu kemiskinan mendalam dan konflik berlarutan selama tiga dekad, yang telah meragut berjuta-juta nyawa di wilayah timurnya.
Lebih tiga juta kanak-kanak di Congo mengalami bantut pertumbuhan akibat kekurangan zat makanan kronik, menurut agensi tersebut.
Kenyataan PBB itu dikeluarkan menjelang persidangan penderma antarabangsa di Paris yang bertujuan mencari dana kecemasan bagi menangani krisis kemanusiaan di timur Congo. - AFP