fb fb fb fb fb

AS, China sepakat redakan perang dagangan

Presiden Trump bertemu rakan sejawatan dari China, Xi Jinping di Korea Selatan /Foto Reuters

BUSAN, 30 Oktober - Amerika Syarikat (AS) dan China mencapai kata sepakat untuk meredakan perang perdagangan yang telah menggugat pasaran global, selepas Presiden, Donald Trump dan Presiden, Xi Jinping bertemu di Busan, Korea Selatan.

Dalam pertemuan pertama mereka selepas enam tahun, Washington bersetuju mengurangkan sebahagian tarif terhadap barangan China, manakala Beijing komited mengekalkan bekalan bahan nadir bumi penting ke pasaran antarabangsa.

Trump menyifatkan rundingan itu sebagai “kejayaan besar” dan mengumumkan China akan segera membeli sejumlah besar hasil pertanian Amerika, termasuk kacang soya, bagi menyokong petani AS.

"Perjanjian itu meliputi kontrak setahun bagi bekalan bahan nadir bumi, yang boleh dilanjutkan," katanya selepas pertemuan itu.

Bahan tersebut penting untuk industri teknologi tinggi dan elektronik global.

Kementerian Perdagangan China mengesahkan ia akan menggantung sekatan eksport tertentu selama setahun, termasuk bagi bahan nadir bumi.

Trump turut mengumumkan akan mengurangkan tarif ke atas China sebanyak 10 peratus selepas Xi berjanji untuk membanteras penyeludupan opioid fentanyl yang sering dibangkitkan Washington.

Selain itu, kedua-dua negara juga akan memulakan rundingan berasingan mengenai pembelian tenaga Amerika, termasuk minyak dan gas dari Alaska.

Xi menyatakan kedua-dua pihak telah mencapai “konsensus penting” dan menyeru agar tindakan susulan segera diambil bagi melaksanakan hasil rundingan tersebut.

Pertemuan selama kira-kira satu jam 40 minit itu berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dihadiri 21 negara termasuk Jepun, Australia dan Kanada. -  AFP

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN