fb fb fb fb fb

Seorang maut mangsa serangan Rusia, bekalan elektrik terputus

17 individu cedera termasuk enam kanak-kanak /Foto Reuters

KYIV, 30 Oktober - Serangan udara Rusia semalaman mengorbankan seorang mangsa dan mencederakan 17 orang, selain mengakibatkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran di seluruh Ukraine, menurut pihak berkuasa.

Di Zaporizhzhia, mereka yang cedera termasuk enam kanak-kanak, selepas serangan menyebabkan bangunan kediaman era Soviet runtuh.

Empat lagi cedera di wilayah Vinnytsia, berhampiran Kyiv, ketika dron Rusia dikesan berlegar di udara ibu negara.

Kementerian Tenaga berkata ramai pengguna terputus bekalan elektrik, namun tidak menyatakan jumlah sebenar.

Syarikat tenaga swasta terbesar negara itu, DTEK melaporkan beberapa loji tenaga di beberapa wilayah rosak akibat serangan tersebut.

Di wilayah barat Lviv yang bersempadan dengan Poland, dua kemudahan tenaga dilaporkan terkena serangan.

“Rusia meneruskan keganasan tenaga yang sistematik, membunuh rakyat dan menyukarkan penduduk Ukraine menjelang musim sejuk,” kata Perdana Menteri, Yulia Svyrydenko di media sosial.

Sejak pencerobohan bermula pada 2022, Moscow kerap menyasarkan infrastruktur tenaga Ukraine setiap kali musim sejuk, memaksa Kyiv melaksanakan sekatan penggunaan elektrik dan mengimport tenaga dari luar negara.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa berjaya menembak jatuh 170 dron Ukraine semalaman, termasuk 48 di wilayah Bryansk dan sembilan di wilayah Moscow.

Rusia terus melancarkan serangan berterusan ke atas rangkaian tenaga Ukraine, manakala Kyiv pula membalas dengan menyerang kemudahan minyak dan tenaga di wilayah Rusia. - REUTERS

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN