fb fb fb fb fb

Jualan merosot, PUMA berhentikan 900 pekerja

Nilai pasaran Puma merosot hampir separuh sejak awal tahun ini /Foto Reuters

HERZOGENAURACH, 30 Oktober - Jenama sukan terkenal, Puma, bakal memberhentikan 900 pekerja korporat sebagai sebahagian daripada rancangan pemulihan besar-besaran bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Arthur Hoeld.

Langkah itu diambil selepas nilai pasaran Puma merosot hampir separuh sejak awal tahun ini, berikutan kejatuhan jualan kasut dan pakaian di tengah-tengah persaingan sengit dalam pasaran global.

Hoeld, bekas ketua jualan Adidas berkata Puma perlu mengurangkan diskaun, memperkukuh pemasaran dan menumpukan semula kepada produk utama.

“Puma telah menjadi terlalu komersial dan banyak memberi diskaun. Kami perlu kembalikan semangat asal jenama ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat syarikat itu di sini.

Selain pengurangan tenaga kerja, Puma turut merancang mengecilkan rangkaian produknya, mengurangkan jualan kepada peruncit diskaun di Amerika Syarikat dan meningkatkan jualan terus kepada pelanggan melalui laman web dan kedai sendiri.

Syarikat itu mengekalkan unjuran kerugian bagi tahun 2025, dengan jangkaan hanya akan kembali mencatat pertumbuhan pada tahun 2027 selepas “tahun peralihan” pada 2026.

Sebelum ini, Puma telah memotong 500 jawatan pada Mac lalu dalam program penjimatan kos.

Dalam suku ketiga, jualan Puma jatuh 15.3 peratus kepada €1.96 bilion (kira-kira RM9.9 bilion), lebih rendah sedikit daripada jangkaan penganalisis.

Inventori syarikat juga meningkat 17.3 peratus selepas mengambil semula stok tidak terjual daripada peruncit.

Saham Puma setakat ini merosot lebih 50 peratus sejak Januari. - REUTERS

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN