PARIS, 30 Oktober - Pihak berkuasa Perancis menahan lima lagi suspek berhubung siasatan terhadap rompakan permata bernilai tinggi di Muzium Louvre, lapor stesen radio tempatan.
Penahanan tersebut hasil beberapa serbuan serentak di sekitar Paris.
Salah seorang suspek dipercayai berada di muzium berkenaan semasa rompakan berlaku pada 19 Oktober lalu.
Tangkapan terbaharu ini menyusul selepas dua individu lain, yang dipercayai rakan subahat mereka, didakwa dan ditahan reman pada Rabu.
Siasatan yang diketuai oleh polis kehakiman Paris, masih diteruskan.
Dalam kejadian itu, lapan barangan berharga dianggarkan bernilai €88 juta (sekitar RM451 juta) telah dicuri, termasuk rantai, anting-anting, tiara dan kerongsang daripada koleksi bersejarah seperti Marie-Louise, Marie-Amélie, Hortense dan Maharani Eugenie.
Bagaimanapun, mahkota milik Maharani Eugenie ditemui semula berhampiran muzium selepas ditinggalkan oleh perompak, yang menurut seorang pengawal keselamatan Louvre, menunjukkan rancangan mereka “gagal sepenuhnya.” - REUTERS