HOI AN, 30 Oktober - Banjir di Vietnam telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang, minggu ini apabila paras air sungai utama berhampiran mercu tanda pelancongan mencecah paras tertinggi dalam tempoh 60 tahun.
Wilayah pantai Vietnam, yang menempatkan tapak warisan dunia UNESCO iaitu bandar purba Hoi An, telah dilanda hujan lebat sejak hujung minggu, dengan rekod tinggi sehingga 1.7 meter dalam tempoh 24 jam.
Menurut Kementerian Alam Sekitar, sekurang-kurangnya 10 maut, manakala lapan yang lain masih hilang.
Tambah kementerian itu, beberapa kilometer jalan raya telah mengalami kerosakan atau terhalang oleh banjir dan tanah runtuh, dengan lebih 5,000 hektar tanaman musnah dan lebih 16,000 lembu mati.
Lebih 128,000 kediaman di lima wilayah tengah turut ditenggelami air dengan sesetengah kawasan merekodkan paras air setinggi 3 meter.
"Orang ramai mengharungi air separas pinggang di jalan raya Hoi An yang dinaiki air pada Khamis dan tingkat bawah kedai ditenggelami air," kata seorang wartawan AFP.
Sementara itu, biro cuaca Vietnam memaklumkan, paras air di stesen pengukur sungai Thu Bon melepasi paras tertinggi dalam sejarah pada 1964, iaitu peningkatan empat sentimeter kepada 5.62 meter, pada lewat Rabu.
“Biasanya banjir hanya berlangsung selama tiga hari dan kemudian kami boleh mula membersihkannya,” kata penduduk Danang, Le Thi Thi, 58.
"Saya tidak fikir saya pernah mengalami banjir yang berpanjangan dan sangat tinggi ini dalam hidup saya," katanya kepada AFP.
Biro cuaca meramalkan paras air mula surut secara perlahan di bandar Danang dan Hue tetapi akan kekal pada paras "membimbangkan" pada Khamis.
Bencana alam, kebanyakannya ribut, banjir dan tanah runtuh, menyebabkan 187 orang maut atau hilang di Vietnam dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.
Jumlah kerugian ekonomi dianggarkan lebih daripada AS$610 juta, menurut angka kerajaan. -AFP