DAR ES SALAAM, 30 Oktober - Perintah berkurung dikuatkuasakan di Tanzania dengan gangguan komunikasi pada Khamis, sehari selepas pilihan raya bertukar ganas dengan sejumlah kematian yang masih belum disahkan.
Presiden Samia Suluhu Hassan telah berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya dan menutup mulut pengkritik dalam partinya pada pemilihan yang menyaksikan pencabar utama sama ada dipenjarakan atau hilang kelayakan.
Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia mengutuk "gelombang keganasan" di negara timur Afrika itu, yang telah menyaksikan rentetan penculikan berprofil tinggi yang semakin meningkat pada hari-hari terakhir kempen pilihan raya.
Kehadiran ramai anggota keselamatan pada Rabu turut gagal menghalang ratusan orang menyertai protes di hab ekonomi Dar es Salaam dan tempat lain dengan peserta melaungkan slogan "Kami mahu negara kami kembali".
Dalam media sosial pula, tular imej menunjukkan protes yang bermula kecil bertukar ganas dengan laporan polis terpaksa melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup ke arah perusuh yang menyasarkan pusat mengundi, kenderaan polis dan perniagaan yang dikaitkan dengan parti pemerintah.
Sumber diplomatik memberitahu AFP, pertempuran berterusan sehingga malam walaupun perintah berkurung dikuatkuasakan oleh polis.
"Sehingga Khamis, perkhidmatan Internet masih belum pulih, manakala polis dan tentera menubuhkan pusat pemeriksaan di sekitar Dar es Salaam dan bandar lain, " kata sumber diplomatik itu.
Wartawan AFP juga melaporkan sekolah dan kolej ditutup pada Khamis dan penjawat awam diminta bekerja dari rumah.
Setakat ini, kerajaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Media tempatan yang dikawal ketat pula tidak menyebut tentang pergolakan itu, mahupun memberikan sebarang maklumat terkini mengenai keputusan pilihan raya.
Terdapat laporan bahawa lebih 30 orang mungkin terbunuh dalam keganasan pada Rabu, kata sumber diplomatik itu lagi, tetapi angka itu tidak dapat disahkan.
Pergolakan dilaporkan di beberapa kawasan, termasuk Songwe di barat dan hab pelancongan Arusha.
Wartawan asing sebahagian besarnya dilarang untuk membuat liputan pilihan raya. - AFP