fb fb fb fb fb

Zionis serang 300 sasaran Hizbullah di Lubnan

Foto AFP

BEIRUT, 22 Oktober - Israel menyerang kira-kira 300 sasaran Hizbullah di Lubnan dalam tempoh 24 jam, dalam usaha menjejaskan kewangan kumpulan itu, tatkala Amerika Syarikat (AS) menggesa perang ditamatkan secepat mungkin.

Serangan ke atas cabang kewangan Hizbullah menandakan perluasan perang hampir sebulan di Lubnan dan pada masa sama, Israel terus menggempur Gaza lebih setahun.

Menurut tentera rejim Zionis, bilik kebal mengandungi peti besi bawah tanah dengan wang tunai dan emas bernilai puluhan juta dolar antara hampir 30 sasaran firma cabang kewangan yang ada kaitan dengan Hizbullah, Al-Qar al-Hassan, dimusnahkan sejak Ahad.

Terdahulu, sekurang-kurangnya empat orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak, sementara 24 orang cedera dalam serangan udara Israel lewat malam Isnin berhampiran sebuah hospital di ibu negara Lubnan.

Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, serangan udara tersebut turut menyebabkan kerosakan besar kepada Hospital Universiti Rafik Hariri di pinggir selatan Beirut yang menjadi sasaran tentera rejim

Pesawat perang tentera haram Israel melancarkan serangan baharu di kawasan Haret Hreik sejurus selepas mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk.

Jet pejuang Israel turut menyerang kawasan Al-Awza’i di pinggir Beirut.

Sementara itu, satu letupan besar berlaku berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut, Lubnan pada awal pagi Isnin.

Namun tiada maklumat lanjut mengenai punca letupan itu, atau butiran mengenai sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan.

Dalam pada itu, ratusan penduduk Beirut melarikan diri dari kediaman mereka pada Ahad selepas Israel memaklumkan bersiap sedia menyerang lokasi berkaitan operasi kewangan kumpulan Hizbullah di Lubnan.

Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di Lubnan sejak 23 September terhadap apa yang didakwa sebagai sasaran Hizbullah, dalam peningkatan ketegangan daripada perang rentas sempadan antara Israel dan kumpulan Lubnan itu sejak permulaan serangan kejam Israel ke atas Gaza.

Hampir 2,500 orang terbunuh dan lebih 11,500 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak tahun lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Trainee