fb fb fb fb fb

Iran beri amaran AS perlu bertanggungjawab jika Israel serang balas

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden/Foto REUTERS

TEHRAN, 22 Oktober-Iran pada Isnin memberi amaran bahawa Amerika Syarikat perlu bertanggungjawab sekiranya Israel melancarkan serangan balas terhadap negara itu dalam masa terdekat.

Amaran itu hadir selepas Presiden AS, Joe Biden, menyatakan bahawa beliau mengetahui rancangan Israel untuk bertindak balas terhadap Iran.

Amir Saeid Iravani, Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), dalam surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan Presiden Majlis Keselamatan PBB dari Switzerland, menyifatkan kenyataan Biden sebagai "sangat membimbangkan dan provokatif."

Kenyataan itu dibuat selepas Biden, yang ditanya oleh wartawan pada sama ada beliau mempunyai "pemahaman yang jelas" mengenai bagaimana dan bila Israel akan bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran pada 1 Oktober.

Biden menjawab ya dan ya untuk solan seterusnya.

Iran sebelum ini melancarkan sekitar 200 peluru berpandu balistik ke arah Israel sebagai tindak balas atas pembunuhan beberapa pemimpin yang disokong Tehran dari Hamas dan Hezbollah, serta seorang jeneral Pengawal Revolusi Iran.

Israel, yang kini berperang dengan Hamas di Gaza dan Hizbullah di Lebanon, berikrar untuk membalas dendam terhadap Iran atas serangan tersebut.

"Kenyataan provokatif ini (oleh Biden) sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan persetujuan secara tersirat dan sokongan jelas Amerika Syarikat terhadap tindakan ketenteraan Israel yang melanggar undang-undang terhadap Iran," tulis Iravani dalam surat tersebut.

"Oleh itu, Amerika Syarikat akan bertanggungjawab terhadap peranannya dalam menghasut dan membenarkan sebarang tindakan pencerobohan oleh Israel terhadap Iran, yang jelas melanggar prinsip asas undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," tambahnya.

Menurut laporan Washington Post, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah memberitahu Biden bahawa Israel bercadang untuk menyerang tapak-tapak ketenteraan Iran, tetapi tidak akan menyasarkan infrastruktur nuklear atau minyak negara itu.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD