fb fb fb fb fb

WHO-Arab Saudi perluas program kad kesihatan digital Haji

Foto fail umat Islam mengerjakan haji

KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Arab Saudi memperluas program kad kesihatan digital Haji bagi memastikan keselamatan dan kualiti penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada hampir 3 juta jemaah yang menunaikan Haji setiap tahun.

Menurut kenyataan WHO, kad kesihatan Haji itu dibangunkan berdasarkan infrastruktur utama (PKI) dalam Rangkaian Pensijilan Kesihatan Digital Global (GDHCN) WHO.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama perintis, lebih 250,000 jemaah dari Indonesia, Malaysia, dan Oman menerima kad kesihatan Haji tahun ini.

Susulan kejayaan program tersebut, WHO dan Arab Saudi bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam memperluas dan meningkatkan program kad kesihatan berkenaan.

"Fasa perintis membuktikan bahawa setiap negara yang terlibat berjaya melaksanakan piawaian global dalam mengeluarkan versi kad negara mereka sendiri, sekali gus meningkatkan keselamatan dan kualiti rawatan untuk jemaah Haji," menurut kenyataan.

Kad tersebut merangkumi maklumat kesihatan penting termasuk keperluan ubat, alahan, status imunisasi, dan masalah kesihatan sedia ada.

"Kad ini memberi kawalan sepenuhnya kepada jemaah terhadap maklumat kesihatan mereka, membolehkan mereka berkongsi maklumat terkini dan tepat dengan petugas kesihatan yang sah di Arab Saudi, seterusnya menerima rawatan yang bersesuaian dan berkualiti," menurut kenyataan itu.

"Hari ini menandakan kemajuan ketara dalam usaha WHO menyokong negara-negara anggotanya bagi menyediakan akses kepada alat kesihatan digital yang lebih selamat dan berpusatkan individu, bagi memastikan penjagaan kesihatan yang berkualiti dapat diperolehi pada bila-bila masa diperlukan. Kami amat berterima kasih atas kerjasama cemerlang dengan Arab Saudi dan negara-negara yang terlibat, serta Pejabat Serantau WHO untuk Mediterranean Timur," WHO menjelaskan lebih lanjut.

Sementara itu, Ketua Saintis WHO, Dr Jeremy Farrar berharap agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu dapat terus menyokong pembangunan kapasiti dan infrastruktur di negara-negara yang beralih kepada sistem kesihatan digital.

Pengarah Serantau WHO bagi Mediterranean Timur (EMRO), Dr Hanan Balkhy berkata, kerjasama antara WHO dan Arab Saudi untuk memperluas inisiatif kad kesihatan Haji itu akan meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan berjuta-juta jemaah Haji.

Sebelum ini, WHO menempa kejayaan berkolaborasi dengan negara Kesatuan Eropah pada tahun 2023 mewujudkan GDHCN bagi menyokong pensijilan vaksinasi COVID-19, yang sehingga kini disertai 80 buah negara anggota agensi itu.

Trainee