fb fb fb fb fb

Taiwan: Latihan tembakan secara langsung China berunsurkan provokatif

Foto REUTERS

TAIPEI, 22 Oktober-Kementerian Pertahanan Taiwan pada Selasa menyatakan bahawa latihan tembakan secara langsung oleh tentera China di sebuah wilayah yang berdepan dengan pulau itu sebagai berunsurkan provokatif untuk menunjukkan kekuatan China di perairan Selat Taiwan.

Pentadbiran Keselamatan Maritim China, dalam satu notis pada Isnin, menyatakan bahawa kawasan sekitar Pulau Niushan di wilayah Fujian akan ditutup selama empat jam bermula jam 9 pagi (Waktu Tempatan ) pada Selasa untuk latihan tembakan secara langsung.

Pulau Niushan juga terletak berhampiran selatan Kepulauan Matsu dikuasai Taiwan.

Kementerian Pertahanan Taiwan dalam satu kenyataan berkata latihan merupakan sebahagian daripada latihan rutin China dan mereka memantau situasi dengan teliti. Walau bagaimanapun, kementerian itu tidak menolak kemungkinan latihan itu adalah sebahagian daripada usaha China untuk "menunjukkan kekuatan ketenteraannya di Selat Taiwan," tanpa memperincikan lanjut perkara berkenaan.

Minggu lalu, China mengadakan latihan perang selama sehari di sekitar Taiwan, yang dianggap oleh Beijing sebagai wilayahnya sendiri, dan menyatakan ia sebagai amaran terhadap "tindakan pemisah."

Perdana Menteri Taiwan, Cho Jung-tai, dalam sidang media di sini, menyatakan bahawa China tidak sepatutnya menjalankan latihan seperti itu kerana ia mengancam keamanan dan kestabilan serantau.

"Walau sebesar mana pun skala latihan itu, ia tidak sepatutnya diadakan secara kerap berhampiran Taiwan," kata beliau.

"Ini hanya akan menimbulkan ketegangan yang tidak diperlukan", tambahnya lagi.

Taiwan selama lima tahun kebelakangan ini sering membantah misi kapal perang dan pesawat tempur China di ruang udara dan perairan sekitar pulau tersebut.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD